Bakul 0
IMG_4421.JPG

The Street Lawyer

RM 25.00

Michael Brock adalah seorang pembantu undang-undang di sebuah firma guaman yang gah Tetuan Drake & Sweeney, di Washington DC. Seorang bintang yang bekerja keras, sibuk memanjang, dan yang mempunyai masa depan yang cerah di firma tersebut.

Suatu hari, firma Drake & Sweeney telah didatangi penculik dan Brock bersama rakan-rakannya yang lain telah diculik dan dijadikan tebusan oleh kumpulan penculik diketuai oleh Mister. SWAT datang membantu, Mister terbunuh dan penculik yang lain telah ditangkap.

Brock menyiasat tentang identiti Mister dan motif tindakan kumpulan mereka. Mereka adalah kumpulan samseng gelandangan yang tidak berpuas hati dengan tindakan firma tempat Brock bekerja. Mereka telah dihalau daripada kediaman mereka semasa musim sejuk melanda. Salji yang tebal, kesejukan yang membeku, tiada tempat berteduh, tindakan menyerang Drake & Sweeney adalah tindakan nekad sekumpulan gelandangan.

Brock mendapati tindakan pengusiran gelandangan telah dibuat oleh Braden Chance salah seorang rakan kongsi firma dari department hartanah. Tindakan Brock yang mahukan akses ke atas fail gelandangan telah dinafikan oleh Chance menyebabkan Brock secara ‘tidak sengaja’ terpaksa mencuri fail tersebut.

Brock nekad berhenti daripada Drake & Sweeney dan menyertai firma kumpulan marhaen diketuai oleh Mordecai yang membela golongan gelandangan. Dalam masa yang sama Brock menghadapi masalah keluarga menyebabkan dia terpaksa bercerai dengan isterinya Claire, seorang doktor pakar yang sepertinya juga sibuk memanjang. Brock meninggalkan apartmentnya dan menyewa di tempat yang lebih kecil.

Brock melakukan kerja-kerja kebajikan dan hatinya semakin tertarik dengan golongan marhaen gelandangan. Brock mula rapat dengan NGO-NGO bersifat kebajikan dan pekerja-pekerja sosial mereka. Brock mula mengenal realiti kehidupan golongan awam dan tidak lagi terkurung dalam dunia elitnya peguam borjois, mewah, dan berprofil tinggi.

Laporan polis dibuat oleh Drake & Sweeney terhadap Brock atas kecurian fail. Brock diburu polis tetapi dengan latar belakang Brock seorang peguam litigasi, tugasan polis menjadi rumit dan polis terpaksa mendapatkan segala macam dokumen, waran, dan memenuhi setiap prosedur tangkapan dan siasatan. Jika tidak, pihak polis terdedah kepada saman oleh Brock.

Brock terpaksa mencari Hector Palma iaitu pembantu kepada Chance untuk menyiasat lebih lanjut tentang kes pengusiran kumpulan Mister. Hector Palma telah dipindahkan oleh Drake & Sweeney ke cawangan Chicago untuk menyembunyikan tindakan kotor firma yang mengusir Mister secara salah daripada terdedah.

Brock berjaya mendapatkan Hector Palma, catatan di dalam fail yang dicuri disahkan ceritanya oleh Hector Palma. Pencarian seterusnya adalah mencari plaintif-plaintif yang sanggup ke depan bagi memfailkan saman terhadap pemilik premis, dan firma lamanya sendiri Drake & Sweeney.

Dalam masa yang sama Brock juga berdepan dengan tindakan disiplin oleh lembaga tatatertib badan peguam atas tindakannya mencuri fail dari bekas majikan. Chance, rakan kongsi Drake & Sweeney juga telah dipecat daripada firma atas tindakan kotornya.

Rundingan dibuat. Drake & Sweeney sedia menarik balik laporan polis dan laporan disiplin terhadap Brock jika Brock menarik balik saman terhadap mereka. Brock dalam dilema antara menegakkan keadilan buat kliennya atau menyelamatkan dirinya dan kerjayanya.

Customer comments

Author/Date Rating Comment